30,000 Hadiri 1 Million Women Purple Walk Di Padang Polo

Kira-kira 30,000 kaum wanita membanjiri sekitar kawasan Taman Reksreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo) bagi menghadiri perasmian program 1 Million Women Purple Walk peringkat negeri hari ini.

Program ini yang dilancarkan di peringkat pusat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di Putrajaya, turut diadakan di peringkat daerah seluruh negeri Perak.

Pelancaran peringkat negeri Perak disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Hadir sama isteri Menteri Besar, Datin Seri Syarifah Zulkipli, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr. mah hang Soon dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim.

Program dimulakan dengan akiviti berjalan kaki di sekitar Padang Polo dan sebahagian Jalan Sultan Azlan Shah dari Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) melalui Sekolah Izuddin Shah, Sekolah Vokasional Jalan Brash (dulunya Sekolah Teknik Brash) hingga ke Padang Polo.

Selain daripada ucapan ringkas Menteri Besar, hadirin turut menyaksikan lintas langsung pelancaran peringkat kebangsaan oleh Perdana Menteri.

Selain daripada kaum wanita, terdapat juga sebahagian kecil kaum lelaki yang tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama mengambil bahagian di dalam program tersebut.

Serentak dengan program itu, Perdana Menteri telah melancarkan penubuhan Komuniti PERWANI  yang antara lain bertujuan mewujudkan rangkaian kumpulan wanita di seluruh negara untuk mengalakkan keselamatan  kejiranan dan tranfomasi masyarakat setempat.

Komuniti ini akan turut bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa tempatan bagi meningkatkan keselamatan komuniti setempat.

Objektif utama PERWANI ialah mewujudkan perpaduan di kalangan wanita Malaysia terhadap komitmen kerajaan di samping sebagai tanda sokongan dan penghargaan golongan wanita terhadap inisiatif serta aspirasi kerajaan dalam memartabatkan dan memperkasakan wanita.

Sumber : Perak News