Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri Perak dan “Countdown” 100 Hari SUKMA Sarawak XXI 2024 dan Majlis Sambutan Aidilfitri 2024 Bersama Warga Sukan Negeri Perak
YB SUK, YB PKN TERAJUI KONTINJEN SUKMA PERAK OGOS NANTI
IPOH, 8 MEI 2024- YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim serta YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin dilantik sebagai Ketua dan Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Negeri Perak ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos nanti.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad ketika membuat pengumuman itu, berkata adalah tidak lengkap kontinjen SUKMA kali ini jika tidak disertai oleh ‘panglima’ kontinjen Perak di Sarawak nanti.
“Oleh yang demikian, saya dengan berbesar hati mengumumkan pelantikan YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim sebagai Chef De Mission dan Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin sebagai Timbalan Chef De Mission yang akan mengetuai kontinjen Perak pada kejohanan SUKMA di bumi kenyalang Ogos nanti.
“Saya amat yakin, dengan pengalaman kedua-duanya, mampu mengemudi kontinjen Perak untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan Pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri Perak dan Countdown 100 Hari Sukma Sarawak XXI 2024 di Galasa Caldwell, di sini.
Hadir sama YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Encik Khairudin bin Abu Hanipah; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YBrs. Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Tuan Haji Mazlan bin Mohamad serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Ujar YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad lagi, beliau berharap agar kontinjen Perak dapat mengharumkan nama negeri seterusnya membawa pulang sebanyak mungkin pingat emas untuk negeri pada temasya SUKMA nanti.
“Bagaimanapun, suka untuk saya mengingatkan semua atlet negeri supaya menjaga diri dan nama baik negeri sepanjang berada di tempat orang.
“Pamerkanlah sikap yang boleh menjadi contoh kepada atlet lain dan yang paling penting jauhkan diri dari kancah negatif yang boleh menjatuhkan prestasi serta meleburkan impian dan cita-cita atlet,” ujarnya lagi.
Pada majlis tersebut, beliau telah menyampaikan insentif keseluruhan berjumlah RM24,350 kepada 26 orang atlet yang telah mempamerkan aksi cemerlang membabitkan lapan acara sukan antaranya boling padang, renang, terjun, catur, tinju, tenpin boling, berbasikal, berbasikal para serta satu pasukan kriket wanita negeri.
Sumber : Pejabat Setiausaha Negeri Perak
8 Mei 2024
Galasa Caldwell Ipoh, Perak